Rabu 23 September 2026 / 10 Rabiulakhir 1448
Image
×

kesilapan

The webmaster has forbidden your access to this site

KURSUS PENGUASAAN NOTEBOOKLM DAN INTEGRASI GEMINI AI UNTUK PENINGKATAN PRODUKTIVITI PROFESIONAL

Putrajaya – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) melalui Cawangan Pengurusan telah berjaya menganjurkan Kursus Penguasaan NotebookLM dan Integrasi Gemini AI untuk Peningkatan Produktiviti Profesional sebagai inisiatif memperkasakan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI).

Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai penggunaan aplikasi NotebookLM dan Google Gemini sebagai platform digital yang mampu meningkatkan produktiviti, mempercepatkan pelaksanaan tugasan serta menyokong proses membuat keputusan secara lebih sistematik dan berkesan.

Kursus ini telah dilaksanakan dalam dua siri, iaitu Siri 1 pada 29 hingga 30 Jun 2026 dan Siri 2 pada 13 hingga 14 Julai 2026, bertempat di Bilik Latihan ICT, Bahagian Perlindungan, dengan penyertaan seramai 19 orang peserta bagi setiap siri.

Sepanjang kursus, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai aplikasi AI dalam tugasan harian, termasuk automasi penyediaan minit mesyuarat, penyusunan laporan, penyediaan kertas kerja, pengurusan maklumat serta analisis data yang lebih komprehensif. Penggunaan teknologi ini diharap dapat membantu warga BPJPM meningkatkan kecekapan kerja di samping mengoptimumkan pengurusan masa dan sumber organisasi.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan BPJPM dalam memperkukuh kompetensi digital warga kerja selaras dengan agenda pendigitalan sektor awam. Penguasaan teknologi inovatif seperti NotebookLM dan Google Gemini dijangka dapat memacu budaya kerja yang lebih cekap, produktif dan berinovasi, sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

 


 
SESI TAKLIMAT MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG PERLINDUNGAN SAKSI (PINDAAN) 2026 DAN RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN (PINDAAN) (NO. 2) 2026

13 Julai 2026, Kuala Lumpur – Satu Sesi Taklimat Mengenai Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah diadakan di Parlimen Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem perundangan dan tadbir urus negara.

Sesi taklimat rasmi ini telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato' Sri Azalina Othman Said, bersama pegawai-pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan. Pindaan yang dicadangkan bertujuan memperkemas urus tadbir serta meningkatkan keberkesanan Program Perlindungan Saksi, di samping memastikan keselamatan dan kebajikan saksi terus dipelihara selaras dengan keperluan semasa.

Taklimat berkaitan pelaksanaan dan aspek operasi Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, yang memberikan penerangan menyeluruh mengenai cadangan pindaan serta implikasinya terhadap pelaksanaan Program Perlindungan Saksi.

Sesi tersebut diteruskan dengan pembentangan oleh Yang Berbahagia Dato' Seri Umar Saifuddin bin Jaafar, Peguam Cara Negara II, yang menghuraikan cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Perbincangan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus institusi perundangan negara melalui pemisahan fungsi yang lebih jelas dan selaras dengan amalan terbaik.

Penganjuran sesi taklimat ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh kerangka perundangan negara melalui pembaharuan yang progresif, sekali gus memastikan sistem keadilan negara terus berfungsi secara telus, berkesan dan berintegriti.

 


PROGRAM MENDAKI BPJPM TAHUN 2026

25 Jun 2026, Melaka – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya menganjurkan Program Mendaki BPJPM Tahun 2026 di Bukit Batu Putih, Taman Eko Rimba Tanjung Tuan, Melaka, sebagai inisiatif memperkukuh semangat berpasukan, kecergasan fizikal serta hubungan silaturahim dalam kalangan warga jabatan.

Program ini melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan daripada semua cawangan di BPJPM, termasuk barisan urus setia yang bertanggungjawab memastikan kelancaran perjalanan aktiviti. Turut hadir mengetuai program ialah Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YDH SAC Noor Azmi bin Yusoff, yang bersama-sama menyertai aktiviti pendakian sepanjang program berlangsung.

Sepanjang ekspedisi, para peserta telah dipandu oleh ejen-ejen BPJPM yang bertindak sebagai pacer dan sweeper bagi memastikan keselamatan, kelancaran pergerakan serta pematuhan terhadap aspek pengurusan risiko sepanjang laluan pendakian. Kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua peserta berjaya mewujudkan suasana yang positif, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan sokongan antara setiap cawangan.

Program ini berjaya mencapai objektifnya apabila seluruh peserta menamatkan pendakian dengan selamat, sekali gus membuktikan tahap ketahanan fizikal, disiplin dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga BPJPM. Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen jabatan dalam memupuk budaya kerja yang sihat, dinamik dan berdaya tahan sebagai asas kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.


BENGKEL PELAN STRATEGIK PENDIGITALAN BAHAGIAN PERLINDUNGAN 2026–2030 (FASA FORMULASI)

6–7 Julai 2026, Putrajaya – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pelan Strategik Pendigitalan Bahagian Perlindungan 2026–2030 (Fasa Formulasi) yang berlangsung selama dua hari bagi memperkukuh perancangan transformasi digital organisasi.

Bengkel ini bertujuan memperincikan inisiatif-inisiatif strategik bagi setiap program yang telah dikenal pasti untuk tempoh lima tahun akan datang, termasuk penyediaan unjuran kos, penetapan garis masa pelaksanaan serta penyelarasan tindakan bagi memastikan pelaksanaan pendigitalan dapat dilaksanakan secara berkesan, mampan dan berimpak tinggi.

Program ini telah dihadiri oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah, YDH SAC Noor Azmi bin Yusoff, barisan Pengarah Cawangan serta wakil daripada setiap cawangan di BPJPM.

Bengkel ini turut mendapat bimbingan daripada fasilitator jemputan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), iaitu Ts. Dr. Suraya binti Ya'acob dan Dr. Nur'Izzati binti Shabdin, yang telah berkongsi kepakaran serta membimbing peserta dalam memperhalusi strategi, inisiatif dan pelan tindakan pendigitalan organisasi.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan BPJPM dalam memperkasakan agenda pendigitalan melalui perancangan yang sistematik dan strategik. Pelan Strategik Pendigitalan 2026–2030 yang dirangka dijangka menjadi pemacu kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih moden, cekap, bersepadu dan berteraskan teknologi digital.


LATIHAN MENEMBAK SIRI 1 TAHUN 2026

23–24 Jun 2026, Putrajaya – Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) telah berjaya menganjurkan Latihan Menembak Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, Presint 20, Putrajaya.

Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran, kecekapan serta kompetensi pegawai dan ejen Bahagian Perlindungan dalam pengendalian senjata api. Program ini juga berperanan sebagai platform pendedahan kepada aspek keselamatan persenjataan, pengendalian senjata secara profesional serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard dalam pelaksanaan tugas.

Program latihan ini telah diselia serta dihadiri oleh Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Tuan Khairul Anwar bin Zakaria @ Abdul Hamid, bersama Timbalan Ketua Pengarah serta barisan Pengarah Cawangan. Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi jabatan mencerminkan komitmen berterusan BPJPM dalam memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan anggotanya.

Sepanjang latihan berlangsung, para peserta telah mengikuti modul latihan yang memberi penekanan kepada teknik pengendalian senjata api yang selamat, kemahiran menembak serta aspek disiplin dalam penggunaan senjata. Modul latihan yang komprehensif ini dilaksanakan bagi memastikan setiap anggota sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam melaksanakan tugas-tugas khas dan perlindungan keselamatan.

Penganjuran latihan ini turut membuktikan komitmen BPJPM dalam melahirkan anggota yang kompeten, profesional dan berintegriti. Kelancaran program tanpa sebarang insiden yang tidak diingini mencerminkan tahap disiplin yang tinggi serta pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur keselamatan sepanjang latihan dijalankan.

 

 


Hubungi Kami

Bahagian Perlindungan,
Jabatan Perdana Menteri,
Aras 7, Menara Usahawan,
Persiaran Perdana Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62652 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya.
  •  +603-8000 8500
  • +603-8861 3636

Tag

Versi Mobile

http://www.bp.gov.my/

Statistik Pengunjung

Hari ini
:
 

Semalam
:
 

Minggu Ini
:
 

Bulan
:
 

Keseluruhan
:
 

Kemaskini Terakhir

 

VCNT - Visitorcounter

Today 217

Yesterday 244

Week 753

Month 5831

All 156401

Currently are 22 guests and no members online

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

  • 22 September 2026.
Hak Cipta © Bahagian Perlindungan JPM 
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox, Microsoft Edge & Google Chrome dengan resolusi skrin 1366 x 768

Laman Web Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri

Bahagian Hal Ehwal Undang - Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri

Prestasi Belanja Mengurus Jabatan Perdana Menteri

PRIMTECH

asmall amed abig blue red reset mas en